Saturday, May 10, 2008

UNMO PERLU INSAF

Baru-baru ini saya terbaca satu cerita dalam buku cerita moral oleh Mohd Nasaruddin Dasuki bertajuk " INSAF KERANA KATAK". Ceritanya lebih kurang begini:


Seorang ahli sufi bernama Syaqiq al-Bakhi berhasrat membeli sebuah tembikai yang lazat. Isteri beliau pun telah menyatakan keinginan yang sama sebelum beliau bertolak ke pasar di pekan berdekatan. Bila tiba di pasar tersebut ahli sufi ini telah bertemu dengan sebuah gerai yang mempunyai longgokan tembikai. Beliau mengambil sebiji tembikai dan membeleknya. Melihat ahli sufi itu sedang membelek tembikai maka tuan gerai tembikai pun berkata bahawa tembikai itu elok dan lazat rasanya. Syaqiq al-Bakhi pun bertanya sama ada dia boleh merasa tembikai itu. Tuan gerai pun membelah sebiji tembikai lalu memberi sepotong kepada beliau. Memang lazat rasa tembikai itu dan ahli sufi itu pun membeli sebiji tembikai lalu di bawa pulang.


Tiba di rumah dia memberi tembikai itu kepada isterinya. Syaqiq pun beredar ke tempat rehat rumahnya sementara isterinya pergi ke dapur dengan membawa tembikai itu. Sebentar kemudian isterinya keluar dari dapur dan dengan nada marah, berkata:"Tembikai yang dibeli ini busuk dan tak boleh dimakan! Penjual itu telah menipu kita". Mendengar kata-kata isterinya itu, Syaqiq al-Bakhi pun bertanya isterinya siapa yang dimarahi itu. Jawab isteri beliau tentulah penjual tembikai yang menjual tembikai busuk itu. Berpaling kepada isterinya, dengan muka yang tenang, beliau berkata " Saya hendak tembikai yang lazat. Kamu pun hendak tembikai yang lazat. Begitulah juga penjual tembikai itu hendak jual tembikai yang lazat. Tapi Allah s.w.t. yang menentukan yang kita tidak mendapat yang dihajatkan". Mendengar Syaqiq al-Bakhi berkata demikian isterinya terdiam dan insaf.


Apa yang diperkatakan oleh Tun Dr. Mahathir bahawa UMNO belum mendapat mesej sebenar yang hendak di sampaikan oleh pengundi dalam pilihanraya umum 2008 memang benar. UMNO tidak sedar segala-segala yang berlaku itu adalah satu peringatan kepada ahli UNMO supaya kembali ke jalan yang di redhai. UMNO perlu ingat segalanya ditentukan oleh Allah s.w.t. dan keputusan pengundi itu adalah satu cara Allah s.w.t. menyampaikan peringatanNya. Sekiranya UMNO masih tidak berubah dan merendahkan diri serta betul-betul berniat memberi khidmat membantu rakyat, maka saya percayai UMNO akan ghaib begitu sahaja dari hati rakyat. Insaflah semua ahli UNMO.


"Manusia itu seperti bahan galian emas dan perak. Mereka yang pilihan zaman jahiliyah, pilihan juga dalam Islam, selama mereka memahami ajaran Islam itu. Dan roh (jiwa) adalah bagaikan perajurit yang aneka ragam. Bila saling mengenal, bersatulah mereka, dan bila tidak saling mengenal, maka berpecah-belah". _ Dari Abu Hurairah r.a. (Sahih Muslim)

No comments: